Hijri Atau Masihi??

Saturday, December 27, 2008




Tanpa disedari, masa begitu pantas berlalu.Sedar ataupun tidak, sudah sampai masa sepatutnya untuk saya menghabiskan pengajian. Rasa macam baru semalam saya menjejak kaki ke bangunan durian tunggal kutkm untuk mendaftar sebagai pelajar baru ftmk.. Suka atau tidak, bermaksud sudah tiga tahun setengah saya mengharungi kehidupan sebagai seorang pelajar ftmk di utem.

Kiranya sudah terlambat jika saya mahu menyesali segala apa perbuatan yang saya dah lakukan sepanjang saya bergelar mahasiswi ipta. Semua perbuatan, samaada baik atau buruk, perlu saya teliti kembali agar segala yang baik dijadikan teladan, dan yang buruk dijadikan sempadan.

Tidak terjangka juga, tahun ini, sambutan Awal Muharam, tahun baru Islam 1430 Hijrah hampir seiring dengan tahun baru masihi 2009. Persamaannya, ‘buku lama’ akan diganti dengan ‘buku baru’. Segala amalan dan perbuatan yang dicatat sudah tidak boleh diubah lagi.Jika lebih banyak kegagalan dan keburukan yang dirasa lebih banyak ‘dicapai’ pada tahun ini, tidak apa yang boleh dilakukan kecuali muhasabah diri. Teringat kata-kata, “sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan” yang tidak banyak berbeza maksud tersiratnya dengan kata-kata Saidina Umar Al-Khatab “hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah di akhirat kelak”.

Betapa perlunya azam lama di’upgrade’ dan jika ada azam yang baru, maka perlukan dipasakkan di dalam hati sekuat mungkin dan disertai dengan niat yang ikhlas. Saya juga dalam proses memuhasabah diri, di mana terus terang dikatakan, azam saya pada tahun 2008 ini banyak yang tidak dilaksanakan dengan baik. Antaranya termasuk program yang saya rancang bersama dengan beberapa orang classmate BITS saya, ain, watib, ct and suraya.{Tak perlu kot saya bagitau program apa..he3} Saya tak pasti sejauh mana program 2008 tersebut berjaya direalisasikan oleh kawan-kawan saya itu, tapi apa yang pasti, program itu gagal untuk saya.

Setelah ‘post mortem’ dijalankan terhadap program tersebut, beberapa solusi berjaya saya dapat. Yang pertama, setiap perbuatan dan amal, pelu disertai dengan niat ikhlas untuk mencapai mardhatillah-hanya untuk mendapat keredhaan Allah semata-mata. Kedua, perlu diperjelaskan lagi hadaf atau tujuan, kerana tanpa tujuan dan objektif yang jelas, semangat dan azam kita boleh jadi hanya mampu bertahan untuk seketika sahaja, umpama ‘hangat-hangat tahi ayam’. Ketiga, sekiranya program itu dijalankan secara berkumpulan atau berjemaah, maka perlulah perlaksanaannya dijalankan secara teliti, termasuklah strategi, pemantauan dan sebagainya. Walaupun kadang-kadang perkara yang dilakukan itu baik, tapi perkara baik yang tidak terancang boleh dikalahkan oleh keburukan yang tersusun rapi.

Tahun baru ni juga telah menyaksikan saya sekali lagi telah memahat azam baru di dalam hati. Moga-moga setiap azam yang baik dipermudahkan oleh Allah. Apa yang penting, setiap perkara yang telah berlalu dijadikan sebagai pengajaran, agar yang baik terus diamalkan, dan yang buruk diperbaiki agar tidak diulangi keburukan itu.
Tahun baru ini juga pasti membawa satu gelombang perubahan hidup yang besar untuk diri saya. Kalau dulu, saya seorang pelajar, masih ditanggung oleh mak, tapi kini, saya perlu berdiri di atas kaki sendiri. Walau banyak kepahitan dan kesusahan dihadapi, hidup perlu terus diharungi. Bermulanya tahun baru, bermakna semakin bertambahlah usia kita. Bertambah usia, bermakna semakin pendeklah usia kita yang tinggal dan semakin dekatlah kita kepada ajal. Kita tidak tahu, bila dan bagaimana cara kematian kita. Tidaklah perlulah disesalkan peristiwa lalu, tapi ambillah pengajaran daripadanya untuk mengharungi masa kini dan menghadapi masa depan. Mudah-mudahan setiap perbuatan kita mendapat redha Ilahi.

Selamat Menyambut Awal Muharam dan Tahun Baru. Apa yang lebih utama, sambutan Awal Muharam atau pun tahun baru masihi? Anda sendiri yang harus beri jawapannya.Apa yang penting, belajarlah dan ambillah iktibar yang terdapat dalam sirah Islam.Mudah-mudahan Maal Hijrah kali ini akan membawa kita ke arah hijrah yang lebih baik.

Azam saya Tahun Ini..?? Biarlah menjadi rahsia antara saya dan Ilahi….=)

0 comments: